Saturday, August 18, 2007

Pelbagai Fadilat Puasa

Oleh Dr. Zulkifli Mohamad AlBakri

SEMPENA kunjungan Ramadan al-Mubarak, Allah mentaklifkan kepada umat Islam satu ibadat yang dinamakan puasa.

Dari segi bahasa, puasa bermakna menahan diri daripada melakukan sesuatu seperti makan, minum dan bercakap. Hal ini bertepatan dengan firman Allah yang menceritakan perihal Maryam, Sesungguhnya aku bernazar diam membisu kerana Allah yang bersifat al-Rahman.

Dari segi istilah syaraknya pula, puasa adalah menahan diri daripada sebarang perkara yang membatalkannya bermula dari terbit fajar hingga matahari terbenam dengan niat puasa. (Maryam: 26)

Puasa mempunyai pelbagai kelebihan, keistimewaan dan fadilatnya yang tersendiri. Di sini dinyatakan hadis-hadis berkaitan antaranya hadis riwayat Ahmad, al-Bukhari dan Muslim daripada Sahl bin Sa’d t, sabda Rasulullah: Sesungguhnya dalam syurga terdapat sebuah pintu yang dikenali dengan nama Rayyan, di mana memasuki daripadanya orang-orang yang berpuasa pada hari kiamat dan yang lain tidak berhak. Dikatakan mana orang yang berpuasa? Lantas mereka bangun dan masuk melaluinya. Apabila selesai ditutup. Tiada orang lain berhak memasukinya.

Hadis riwayat Ahmad dan al-Nasa`ie, daripada Abu Hurairah, sabda Rasulullah: Puasa sebagai perisai.

Perisai di sini bermaksud selamat daripada api neraka Allah sebagaimana dalam riwayat yang lain, demikian telah dinyatakan oleh Ibn Abd al-Bar.
Dalam al-Nihayah oleh Ibn Athir menyebut iaitu menyelamatkan tuannya (orang yang berpuasa) daripada menyakitkannya untuk mengikut syahwat.
Qadi `Iyad pula berpendapat ia bermaksud daripada dosa-dosa. Justeru, Ibn Hajar al-Haithami berkata: Ini menunjukkan dan menguatkan apa yang mereka sepakati bahawa ‘dikehendaki dengan puasa’ bermakna yang selamat puasanya daripada sebarang maksiat sama ada melalui perbuatan atau perkataan.

Hadis riwayat Ibn Majah dan al-Hakim, daripada Ibn Umar bahawa Nabi s.a.w. bersabda: Sesungguhnya bagi orang yang berpuasa ketika berbuka mempunyai doa mustajab yang tidak ditolak.

Hadis riwayat al-Baghawi daripada seorang lelaki dalam kalangan sahabat. Firman Allah dalam hadis qudsi, Satu kebajikan dengan 10 kali ganda dan ditambah, dan satu kejahatan hanya dibalas satu dan mungkin Aku hapuskannya, dan puasa untuk-Ku, dan Akulah yang membalasnya. Puasa sebagai perisai daripada azab Allah sebagaimana penyangga yang menjadi perisai daripada mata pedang.

Al-Allamah Ibn Hajar al-Haithami berkata: Wajah sandaran pahala puasa kepada Allah, dan tidak amalan yang lain, kerana seseorang tidak mendekatkan kepada selain Allah dengan puasa pada zatnya. Justeru, puasa pada hakikat adalah untuk Tuhannya kerana puasa merupakan isyarat kepada sir (rahsia) sifat somadiyah Allah. Atau juga terkaya daripada makan dan mengikut segala syahwat daripada sifat-sifat Allah. Justeru, puasa adalah jenis yang muwafaqah yang demikian disandarkan kepada Allah.

Ikhlas

Al-Qurtubi berpendapat: Bahawa segala amalan hamba begitu munasabah dengan keadaan dan hal mereka kecuali puasa. Ia amat munasabah dan berbetulan bagi sifat-sifat Allah s.w.t.. Allah berfirman: Sesungguhnya orang yang berpuasa mendekatkan kepada-Ku dengan perkara daripada sifat-sifat-Ku atau bahawa ikhlas padanya lebih sempurna dan mudah atau kerana ia sama seperti satu sifat daripada sifat-sifat malaikat.

Hadis riwayat al-Baihaqi dalam al-Syu`ab daripada Abu Hurairah, Rasulullah bersabda: Puasa adalah separuh kesabaran, dan di atas setiap sesuatu mempunyai zakat, dan zakat jasad ialah puasa.

Sedangkan mengikut riwayat yang lain seperti al-Tirmizi dan beliau menghasankannya daripada seorang lelaki di kalangan Bani Salim, dan Ibn Majah daripada Abu Hurairah bahawa Nabi bersabda yang bermaksud: Puasa separuh kesabaran.

Dalam riwayat pada sanad yang hasan, Nabi s.a.w. bersabda yang bermaksud: Sabar separuh daripada iman. Yakni puasa satu perempat daripada iman.
Hadis riwayat al-Nasa`ie daripada Abi Sa`id yang bermaksud: Siapa yang berpuasa sehari semata-mata pada jalan Allah nescaya Allah menjauhkan wajahnya dari neraka jahanam selama 70 tahun.

Begitu juga diriwayatkan oleh Ahmad, al-Tirmizi, al-Nasa`ie dan Ibn Majah daripada Abu Hurairah yang sama makna dengan hadis di atas kecuali 70 tahun digantikan dengan 70 musim luruh.

Sedangkan riwayat al-Nasa`ie daripada Uqbah bin Amir, digantikan 70 tahun dengan 100 tahun jarak perjalanan.

Hadis riwayat Ibn Mandah dalam Amali, daripada Ibn Umar dan al-Dailami, daripada Abdullah bin Abu Aufa bahawa sesungguhnya Nabi Muhammad bersabda, Diam orang yang berpuasa merupakan tasbih, tidurnya merupakan ibadat, doanya mustajab dan amalannya digandakan.

Hadis riwayat al-Dailami daripada Anas bahawasanya Rasulullah s.a.w bersabda: Orang yang berpuasa berada dalam ibadat sekalipun dia sedang tidur atas tilamnya.

Hadis seumpama ini juga dikeluarkan oleh Abu Nu`aim daripada Ibn Abbas.
Hadis riwayat al-Nasa`ie daripada Abi Umamah, katanya: Aku datang bertemu Nabi seraya bertanya: Hai Rasulullah, perintahkanlah kepadaku dengan suatu perkara yang aku dapat pegangnya darimu. Sabda Rasulullah: Hendaklah kamu berpuasa kerana sesungguhnya ia tiada tandingannya.
Hadis seumpama ini juga dikeluarkan oleh Ahmad, al-Nasa`ie, Ibn Hibban dan al-Hakim daripada Abi Umamah.

Diambil hadis ini secara zahir ia menunjukkan kelebihan puasa daripada segala ibadat. Walaupun begitu ulama melebihkan solat berdasarkan kepada khabar yang banyak. Antaranya riwayat Abu Daud dan lainnya, iaitu solat sebaik-baik perkara atau ibadat.

Hadis riwayat Ahmad, al-Tirmizi dan al-Baihaqi, daripada Zaid bin Khalid bahawasanya Nabi s.a.w. bersabda: Siapa yang memberi makan orang berbuka puasa adalah pahala baginya seumpamanya dan tidak dikurangkan sedikit pun daripada pahala orang yang berpuasa.

Hadis seumpama ini juga dikeluarkan oleh Ibn Sosra dalam Amalinya daripada Aisyah dan al-Dailami, daripada Ali.

Hadis riwayat al-Tabarani dalam al-Awsat, daripada Anas bahawasanya Rasulullah bersabda: Puasa boleh mengurangkan daging (gemuk) dan menjauhkan daripada kepanasan neraka Sa`ir, sesungguhnya bagi Allah mempunyai hidangan yang tidak pernah dilihat oleh mata, didengar oleh telinga dan terlintas oleh hati manusia, tidak duduk ke atasnya untuk menikmati hidangan tersebut kecuali orang-orang yang berpuasa.

Hadis riwayat al-Nasa`ie, Ibn Majah, daripada Abu Hurairah, Allah berfirman bermaksud: Setiap amalan anak Adam baginya kecuali puasa, maka sesungguhnya ia bagi-Ku dan Aku yang membalasnya dan puasa merupakan perisai, apabila seseorang kamu berpuasa maka janganlah ia bercakap yang cela, bertempik dan sekalipun dimaki oleh seseorang atau diperanginya maka hendaklah berkata: Sesungguhnya aku berpuasa, demi yang jiwa Muhammad di tangannya maka bau mulut orang yang berpuasa terlebih harum di sisi Allah dari bau kasturi. Bagi orang yang berpuasa dia mempunyai dua kegembiraan. Apabila berbuka dia berasa gembira dengan berbukanya dan apabila bertemu Allah dia berasa gembira dengan puasanya.

Hadis riwayat Ahmad, al-Bukhari, al-Nasa`ie dan Ibn Majah daripada Abu Hurairah, Setiap amalan anak Adam digandakan, satu kebajikan dengan sepuluh kali ganda hingga sampai 700 kali ganda, hingga mengikut kehendak Allah.
Semoga kita menjadi hamba-hamba Allah yang dapat menghayati erti dan maksud puasa sehingga membawa kepada takwa kepada Allah.

- Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri ialah penulis tamu Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

No comments: