Saturday, May 24, 2008

Zuhud



Berzuhud jamin keikhlasan beramal, jadi perhiasan akhlak

Oleh Mohd Adidi Ab Rahman


MENJADI kewajipan bagi setiap Muslim mencontohi keelokan keperibadian Rasulullah SAW sebagai pembuktian cinta kepadanya, kejituan iman dan menepati kalimah syahadah yang diucapkan kerana pada diri Baginda terhias akhlak terpuji yang tidak ada tolok bandingnya. Antara akhlak Rasulullah SAW ialah memiliki sifat zuhud. Menurut Sheikh Muhammad Al-Mubarak dalam bukunya 'Sistem Islam, Akidah dan Ibadat' mengenai zuhud, "Seseorang yang melebihkan akhirat dan apa yang berkait dengannya di atas dunia dan apa-apa yang berkait dengannya." Seorang ulama besar Islam, Imam Al-Ghazali pula mengemukakan pendapatnya mengenai zuhud, "Suatu keputusan untuk membanteras jiwa daripada segala rupa kesenangan sambil melangkah kepada yang lebih baik; iaitu dengan meninggalkan yang tidak baik kepada lebih baik."


Daripada dua pendapat itu dapat dirumuskan zuhud ialah memandang sesuatu benda itu kurang penting, atau tidak berharga dalam timbangan fikiran yang sihat atau meninggalkan segala kenikmatan hidup dan kelazatannya dengan hanya mengambil yang perlu semata-mata untuk beribadat atau menyediakan diri menuju ke alam akhirat kekal abadi. Bagi segelintir masyarakat yang kurang faham menganggap zuhud itu meninggalkan segala kesenangan hidup di dunia dan akan menumpukan sepenuhnya untuk kehidupan akhirat. Lalu menyeksa diri dengan berpakaian kasar dan tampak tidak terurus. Jika demikianlah, perbuatan itu menyalahi naluri dan fitrah manusia serta terpesong daripada landasan Islam sebenar. Bukankah Islam menyuruh supaya setiap Muslim menyeimbangkan antara kehidupan dunia dengan akhirat.


Firman Allah yang bermaksud: "Kemudian setelah selesai solat, maka bertebaranlah kamu di muka bumi (untuk menjalankan urusan masing-masing) dan carilah apa yang kamu hajati daripada limpah kurnia Allah, serta ingatlah akan Allah banyak-banyak (dalam segala keadaan), supaya kamu berjaya (di dunia dan di akhirat)." – (Surah al-Jumu'ah, ayat 10) Orang yang memiliki sifat zuhud menganggap dunia serta segala perhiasannya itu kecil saja dan akan musnah semuanya. Hanya yang dimanfaatkannya tidak lebih sekadar mencukupi untuk makan, minum, pakai dan tempat tinggal atau dengan kata lain mengambilnya sebatas yang diperlukan saja. Pesan junjungan besar Nabi Muhammad SAW yang bermaksud: "Hendaklah kadar yang diambil oleh seseorang kamu dari dunia hanya sebanyak bekal seorang musafir." – (Al-Hadis) Atas fahaman itu, maka bagi zahidin tidak ada alasan untuk mengagungkan sesuatu yang hanya bersifat sementara dan akhirnya lenyap. Sedangkan akhirat itu lebih baik dan lebih kekal, lalu bijaklah jika kehidupan akhirat diutamakan.


Oleh sebab kurang iman, maka di kalangan kita ada yang terlampau mencintai dunia, lantas bekerja siang malam mengumpul harta kekayaan hingga terlupa mengingati Allah, seolah-olah mereka dapat hidup buat selamanya di sini. Dalam hal ini Allah menerangkan sikap kebanyakan manusia melalui firman yang bermaksud: "Bahkan kamu lebih memilih kehidupan dunia. Sedang kehidupan akhirat lebih baik dan lebih kekal."– (Surah al-A'la, ayat 16-17) Oleh itu, bagi orang Islam hendaklah mementingkan kehidupan yang kekal di akhirat. Walaupun begitu, bukan bermakna kehidupan sekarang tidak perlu diurus. Hanya perlu diingat, jangan berlebih-lebihan dan melampaui batas.


Sesungguhnya berzuhud hakikatnya tidak pernah merugikan. Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: "Siapa yang bangun pagi sedang ingatannya hanya pada akhirat semata, nescaya Allah akan menghimpunkan segala urusannya, memelihara perusahaannya dan dunia akan datang menyembah kepadanya."


Isteri Baginda SAW, Siti Aisyah menceritakan bahawa belum pernah dijumpai dalam rumah Rasulullah SAW ada persediaan makanan, bila makan siang, tidak ada lagi persediaan untuk makan malam. Dan Baginda belum pernah memiliki dua lembar serban, sarung dan dua pasang selipar. Imam Ahmad dan Muslim meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW tidak pernah kenyang daripada gandum selama tiga hari berturut-turut hingga akhir hayatnya. Sifat zuhud Rasulullah SAW tergambar juga dalam doanya yang bermaksud: "Ya Allah, berikanlah kepada keluarga Muhammad rezeki sekadar cukup makan." – (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)


Sesungguhnya sifat zuhud itu menjadi perhiasan akhlak Rasul, sebagai jambatan untuk mengingati dan mendekati diri kepada-Nya. Jika diteliti apa diutarakan Imam Ahmad bin Qudamah al-Maqdisi mengenai tingkatan kedudukan orang yang zuhud terhadap sesuatu diingini:


Pertama, zuhud orang yang takut kepada Allah. Sentiasa menyelamatkan diri daripada azab dan hisab yang akan ditempuhi setiap manusia di akhirat.


Kedua, zuhud orang yang berharap. Sentiasa berusaha untuk mendapatkan pahala dan nikmat yang dijanjikan. Meninggalkan nikmat dunia semata-mata mendapat nikmat akhirat.


Ketiga, zuhud orang yang ikhlas. Iaitu tidak pernah mengelak daripada penderitaan atau untuk mendapatkan keseronokan, tetapi semata-mata ingin bertemu dengan Allah. Daripada ketiga-tiga tingkatan kedudukan orang yang zuhud di atas, ternyata bertujuan untuk mendampingi Allah.


Sebagai seorang Muslim yang bercita-cita mendapat kasih sayang dan keredaan Allah, sudah tentu akan mengamalkan sifat zuhud dengan penuh keimanan kerana berzuhud juga menjamin keikhlasan beramal.


Sumber: Berita Harian

Saturday, August 18, 2007

Al-Quran ubah keluarga Yousef al-Khattab

WALAUPUN berbangsa Yahudi, ia bukan penghalang kepada keluarga Yousef untuk menerima kebenaran dan memeluk Islam.

Susunan SITI AINIZA KAMSARISAAT ini tidak tergambar betapa bencinya perasaan terhadap golongan yang bernama Yahudi. Apatah lagi yang menghuni di sebuah negara haram, Israel!

Ini kerana mereka mempunyai satu gerakan yang cukup zalim dan kejam tanpa mempunyai nilai-nilai ketamadunan manusia kecuali bernafsukan binatang. Rejim Israel menjadikan manusia yang lain umpama binatang buruan yang kemudiannya dibunuh dengan kejam. Tanpa ada sebarang peraturan dan undang-undang yang membataskan kecuali berpaksi kepada undang-undang rimba!

Walaupun mendakwa mereka mempunyai agama yang suci sebagai pegangan hidup. Istilah seperti Yahudi mabuk misalnya, merujuk kepada mereka yang hidup tiada pedoman dan sebagainya menggambarkan lagi betapa buruknya bangsa ini di pandangan masyarakat antarabangsa.

Namun masih ada Yahudi yang waras akalnya. Malah sanggup meninggalkan segala macam doktrin dan dogma Yahudi dan akhirnya mengakui kebenaran Islam dan memeluk agama itu tanpa sebarang halangan dan prejudis. Antaranya, Yousef al-Khattab yang seisi keluarga memeluk Islam dengan seikhlas hati sekali gus membuktikan Islam agama sejagat.

“Saya dilahirkan dalam keluarga Yahudi tetapi lebih bersifat sekular, iaitu kami tidak begitu taksub terhadap ajaran Taurat dalam setiap aspek kehidupan.
“Bagi kami, ruang lingkup agama adalah ibadat dan bukan untuk dijadikan cara hidup” katanya.

Ketika usianya mencecah 18 tahun, Yousef ingin melihat lebih jauh ke dalam agamanya sendiri, terutama dalam mempercayai kewujudan tuhan. Lantas memilih pengajian Rabbinical Orthodox Judaism ketika belajar di sekolah Yahudi.

Pada 1988, Yousef kemudiannya menyambung pengajian peringkat tinggi, iaitu yang dikenali sebagai Yeshiva dan memulakan perjalanan hidupnya dengan mengikuti secara kultus atau mengamalkan ajaran yang selama ini dipelajari secara teori.

Pada 1991, Yousef mengahwini seorang wanita berketurunan Yahudi, bernama Luna Mellul yang kemudiannya dikenali Qamar al-Khattab setelah memeluk Islam.
“Isteri saya berasal dari sebuah bandar yang dikenali sebagai Tetouan di Maghribi dan mendapat pendidikan di sebuah sekolah Yahudi untuk kanak-kanak perempuan, Sampson Raphael Bet Yaakov atau Bais Yakov setelah berpindah ke Manhattan Amerika Syarikat,” kata Yousef.

Mereka dikurniakan Rachamin Cohen (kini dikenali sebagai Abdel Rahman) setahun kemudian. Perkahwinan yang dibina pada masa itu, penuh bahagia tanpa sebarang konflik.

Selepas kelahiran Rachamin, pasangan Yahudi ini kemudiannya menetap di sebuah komuniti Yahudi yang dikenali sebagai Satmar Hasidic di Williamsburg, Brooklyn Amerika Syarikat.

Ketika menetap di situ, Yousef mula mendapati ada sesuatu yang tidak kena apabila ajaran Yahudi tidak menjadi satu amalan agama yang baik malah penuh dengan pembohongan dan penipuan.

“Mereka menggunakan institusi seperti kuil Yahudi, synagogue dan institusi kewangan Yahudi, Bank Yeshiva untuk menggelapkan wang-wang sumbangan sehingga menjadikan kehidupan masyarakat Yahudi di situ agak teruk dan pengotor.

“Ini menyebabkan saya berasa tidak lagi sesuai menetap dengan komuniti di situ. Apa lagi untuk membesarkan anak-anak” katanya.
Sehingga 1998, pasangan ini dikurniakan tiga anak lagi iaitu Hesibeh, Abdul Aziz (dahulunya Ezra) dan Abdullah (dahulunya Ovadia).

“Sehingga ke saat itu saya masih mempercayai bahawa agama Yahudi merupakan satu ajaran yang benar” katanya.

Begitupun kata Yousef, beliau sebenarnya masih tidak begitu memahami ajaran sebenar agama itu kerana untuk memahami Judaisme ia terpaksa melalui tiga cara atau peringkat termasuk ‘peringkat yang tersembunyi’.

Peringkat-peringkat itu sebenarnya menjadi sebahagian daripada teka-teki yang mengelirukan bagi mereka yang mengamalkan atau kultus Rabbinical.
“Anda tidak akan dapat belajar sehingga habis teks-teks Rabbinic kerana ada kalanya anda hanya perlu tunduk dan patuh kepada ketua agama yang dikenali sebagai rabbi (atau Elders of Zion) yang menentukan tahap-tahap tertentu untuk seseorang itu mempelajari agama Yahudi.

“Mereka inilah yang menterjemahkan agama Yahudi untuk anda dengan cara mereka yang tersendiri” kata Yousef.

Tetapi apabila rabbi dapat mengesan Yousef mula mempertikaikan ajaran Yahudi menyebabkan dirinya sentiasa diperhatikan.
“Rabbi hendak tahu ke mana kita hendak pergi dan dengan siapa kita berkawan, sehingga begitu sekali mereka mengawal penganut-penganutnya.
“Tidak cukup setakat itu, malah atas nasihat Rabbi, mereka meminta kami sekeluarga supaya berpindah untuk menetap di Palestin dan menjadi sebahagian penduduk dalam kerajaan Israel,” katanya.

Ini kononnya agar pegangan Yousef terhadap ajaran Yahudi semakin kukuh kerana hidup dalam lingkungan agama dan penganut yang lebih kuat pegangan mereka terhadap agama Yahudi.

Pada September 1998, mereka sekeluarga menuju ke Tebing Barat Gaza dan menetap di sebuah penempatan Yahudi iaitu Gush Qatif di situ.
Walaupun diberi pelbagai kemudahan ketika di situ tetapi peristiwa anaknya, Rachamin) ditipu oleh gurunya menyebabkan Yousef semakin tidak mempercayai agamanya sendiri.

Rachamin ketika itu pulang dari sekolah dan sambil termengah-mengah kerana berlari beliau memberitahu bahawa guru yang mengajarnya di sekolah tidak menutup rambutnya dengan betul malah berpakaian menjolok mata.
“Anak saya dan para pelajar yang lain tidak diajar mengenai Taurat kerana sebahagian besar masa mereka dihabiskan dengan hanya bermain dan menyanyi” kata Yousef.

Peristiwa itu menyebabkan Yousef tekad berpindah walaupun ketika itu beliau sendiri berada dalam kesempitan wang dan harta.
Malah menurut Qamar, beliau tidak menyenangi keadaan dan corak kehidupan pendatang Yahudi di situ.

“Barulah saya mengenali siapa sebenarnya Yahudi. Antara lain sejak kecil anak-anak Yahudi yang hampir satu juta ramainya itu diajar supaya membenci dan menghina bangsa lain yang dianggap tidak layak mendiami bumi ini kecuali bangsa Yahudi.

“Ini merupakan sifat pentingkan diri sendiri yang paling teruk pernah saya jumpa. Walaupun kami Yahudi, kami menentang sikap-sikap bongkak seperti itu,” kata Qamar.

Yousef kemudiannya memilih menetap di Netivot, iaitu sebuah penempatan yang telah dirampas hak miliknya daripada rakyat Palestin pada 1948. Sebuah pertubuhan parti politik yang bercirikan agama, Shas kemudiannya membantu Yousef memulakan kehidupan.

Mereka diberi sebuah rumah dan anak-anak Yousef dihantar ke sebuah sekolah persendirian sehingga anaknya berjaya menguasai bahasa Hebrew.
“Tetapi ketika menetap di situ saya berkenalan dengan seorang Arab Islam yang berasal dari Arab Saudi dan selama dua tahun perkenalan itu, kami sering menghabiskan masa bertukar-tukar pandangan mengenai agama masing-masing.

“Beliau sering bertanyakan kepada saya mengenai soal akidah dalam agama Yahudi untuk beliau bandingkan dengan tauhid uluhiah sebagai sebahagian daripada kepercayaan kepada monotheism dalam Islam” katanya.

Oleh kerana Yousef tidak mampu menjawab dengan baik mengenai pertanyaan kawannya itu, beliau merujuk kepada rabbi-rabbi Yahudi bagi mendapatkan jawapan yang lebih pasti, tepat, jelas dan logik.

Yousef begitu terperanjat apabila diberi hampir 1,001 jawapan yang berbeza-beza dan mengelirukan.

“Malah Rabbi tidak dapat menunjukkan kepada saya di mana perkataan atau nama tuhan (Yahweh) ada disebut dalam teks ajaran dan kitab Taurat.

“Ini menyebabkan saya semakin keliru terhadap pegangan saya selama ini. Lalu saya menuju ke penempatan Arab Palestin bagi mendapatkan senaskhah al-Quran yang diterjemahkan ke dalam bahasa Inggeris,” katanya.
Buat sekian kalinya, Yousef mengalami kejutan apabila mendapati kitab al-Quran itu mampu memberikan jawapan yang beliau cari selama ini.
“Malah al-Quran bukan sahaja menjelaskan kedudukan dan siapa sebenarnya bangsa Yahudi tetapi Allah masih dengan begitu belas dan mengasihi mengajak orang Yahudi kembali ke ajaran Islam,” kata Yousef yang begitu bersyukur memiliki al-Quran dan tidak sanggup melepaskannya.
Beliau sanggup menghabiskan masa membaca keseluruhan al-Quran yang menyebabkan beliau tidak teragak-agak meninggalkan agama Yahudi.
“Saya memeluk Islam kerana saya tidak mampu menolak sebuah ajaran yang di dalamnya penuh dengan kebenaran dan menjawab pelbagai persoalan terutama soal ketuhanan.

“Malah saya amat gembira kerana dua minggu selepas memeluk Islam, isteri saya pula memeluk Islam setelah beliau juga seperti saya mengkaji dan mendalami serba sedikit mengenai Islam terutama melalui al-Quran. Ini diikuti oleh anak-anak kami kemudiannya,” katanya.
Akui Qamar, beliau terkejut dengan tindakan suaminya memeluk Islam kerana telah menjadi sebahagian dari ajaran agama Yahudi supaya membenci agama lain terutama Islam.

“Tetapi Yousef tidak memaksa saya mengikut jejak langkahnya kerana dalam Islam dibenarkan seorang lelaki Islam mengahwini wanita dari golongan ahli kitab.

“Tetapi saya juga ingin mengetahui apa yang Islam lakukan sehinggakan suami saya sanggup memeluk agama itu dengan saya sendiri cuba mengkaji mengenai Islam,” jelas beliau.

Hasilnya, Qamar bangga mengakui kebenaran Islam. Kini Yousef sekeluarga menetap di Maghribi. Mereka gemar mendalami ajaran Islam dan bahasa Arab bagi mewujudkan keluarga Muslim yang sejati.

“Walaupun berdarah Yahudi namun Islam membuatkan bangsa ini tiada bezanya seperti bangsa-bangsa yang lain kecuali iman dan takwa sahajalah yang menentukan kedudukan masing-masing di sisi Allah, tuhan yang satu, tuhan yang wajib disembah,” katanya.

UM/170806

Keutamaan Ilmu

Dr Juanda Jaya, Tajdid Iman, Keberkatan ilmu benteng diri hadapi godaan syaitan & hawa nafsu

SEORANG sahabat Rasulullah SAW tiba di sebuah pasar. Orang ramai sibuk berniaga dan membeli-belah. Tiba-tiba beliau menyeru mereka: "Wahai manusia, mengapakah kalian tidak mengambil harta pusaka peninggalan Rasulullah SAW?"

Mereka pun bertanya: "Di manakah tempatnya harta itu?" Kemudian ditunjukkan tempat penyimpanan yang dimaksudkan iaitu masjid Rasulullah SAW. "Tidak ada yang kami temui kecuali orang yang sedang beribadat dan orang yang berkumpul di majlis ilmu."

Maka sahabat itu pun berkata: "Ilmu itulah harta peninggalan Rasulullah SAW!"

Sukakah anda mendapat harta pusaka Rasulullah SAW? Bukan emas dan permata, bukan istana, dan segala khazanah dunia. Tuntutlah ilmu! Bukan hanya ilmu agama, malah ilmu duniawi juga sama penting dan besar pahalanya di sisi Allah. Rasulullah SAW dan sahabat Radiallahu 'Anhum pernah belajar teknologi peperangan daripada Salman al-Farisi, ahli siasat perang dari Parsi.

Baginda juga adalah seorang ahli perniagaan yang berjaya sebelum menjadi Rasul Allah.Begitu juga Abu Bakar al-Siddiq, Abdul Rahman bin Auf dan Usman bin 'Affan adalah pakar ekonomi yang banyak membantu dakwah di jalan Allah. Aisyah binti Abu Bakar Radhiyallahu 'Anha pula menjadi rujukan penuntut serta Hafsah binti Umar seorang penulis dan pengumpul naskah Al-Quran?Maka siapakah kita dengan ilmu yang ada? Apakah peranan kita untuk umat ini? Apakah ilmu yang kita miliki berkat, bermanfaat bagi diri, keluarga dan umat?

Ciri ilmu yang berkat menurut Imam al-Ghazali di dalam kitabnya, Bidayatul Hidayah adalah:
*Ilmu akan bertambah hebat akibat rasa takut kepada Allah. Surah al-Faatir, ayat 28 menyebutkan: "Hanya yang takut kepada Allah, adalah ulama." ?Keluasan ilmu Allah melahirkan manusia yang amat gerun kepada kekuasaan Allah.? Dengan ilmunya dia dapat mengetahui apa yang dibenci Allah dan apa yang disukai-Nya. Ini diadun dengan ilmu tentang kehebatan syurga Allah dan seksa neraka yang menjadi formula pembentuk sahsiah ulama pada dirinya. Rasakan getaran hati anda, adakah ia begitu sensitif apabila berhadapan dengan keinginan melakukan dosa dan maksiat kepada Allah? Jika di hati masih tersisa rasa takut kepada Allah, ilmu anda akan sentiasa bermanfaat untuk diri dan orang lain.

*Ilmu membentuk sifat tawaduk. Jika ilmu semakin tinggi, keagungan dan kebesaran Allah menutup segala ego dan kesombongan yang membayangi diri. Tidak sama sekali menganggap orang lain bodoh dan lemah. Kerana sehebat-hebat manusia tidak akan mampu menghadapi ujian yang diberi oleh Yang Maha Mengetahui melainkan dengan pertolongan-Nya. Dengan bekal segulung ijazah itu bolehkah anda menghadapi hari penghisaban dengan selamat? Pakar motivasi sekalipun tidak akan mampu menanggung musibah yang diuji pada dirinya kecuali dengan pertolongan Allah. Sifat tawaduk seperti bintang yang berkilauan. Ilmu pula ibarat purnama. Kedua-duanya amat cantik jika dikembarkan menjadi hiasan peribadi.

*Ibadat bertambah nikmat kerana asas ilmu yang kukuh. Sesungguhnya amal yang diterima memiliki dua syarat iaitu ikhlas dan mengikut sunnah Rasulullah SAW. Sabda Baginda ketika melihat seorang lelaki yang kurang betul sembahyangnya: "Sembahyanglah kamu seperti aku sembahyang." Kerana itu, apa saja ibadat yang dilakukan wajib bersumber daripada sunnah Rasulullah SAW. Cubalah mengerjakan ibadat dengan cara khusyuk seperti Rasulullah SAW khusyuk, berjuang seperti Baginda berjuang, berilmu seperti Baginda berilmu. Ilmu yang menggerakkan amal dan perjuangan untuk Islam.

*Ilmu di dada membentuk peribadi khalifah. Islam mengajarkan konsep kepemimpinan yang berteraskan sifat amanah dan bertanggungjawab. Kalau ilmu anda berkat dan bermanfaat, tentunya kedua-dua sifat ini amat menonjol pada diri anda, tidak kira di rumah, pejabat atau dalam lingkungan masyarakat iaitu anda berdiri sebagai individu yang bermaruah. Seorang guru agama yang mempunyai jiwa khalifah akan mencorakkan umat dengan ilmu dakwahnya. Manakala, seorang guru sentiasa sedia membantu muridnya tidak kira Muslim atau bukan Muslim kerana dorongan amanah yang akan dipersoalkan di hadapan Allah SWT. Sabda Rasulullah SAW: "Kamu semua adalah pemimpin dan akan diminta pertanggungjawabannya atas apa yang dipimpinnya." (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim)Anda adalah ketua bagi diri anda sendiri, isteri, anak, tempat di mana anda bekerja dan di dalam masyarakat.

*Bijak menyembuh penyakit dalam beramal. Ilmu dan amal memang tidak boleh dipisahkan. Orang yang berilmu tidak akan berpuas hati dengan pencapaiannya. Dia akan sentiasa menimbang, meneliti, mencari-cari akan ketidaksempurnaan diri dan perbuatannya. Penyakit orang berilmu adalah ujub manakala penyakit orang beramal biasanya riak.Imam al-Nawawi memberi garis panduan bagi kedua-duanya. Beliau berkata: "Beramal kerana manusia adalah riak dan meninggalkan amal kerana manusia adalah ujub, ikhlas adalah engkau terlepas daripada kedua-duanya."

*Cerdik mengenal dan mematahkan tipu helah syaitan. Ilmu yang berkat adalah senjata yang paling digeruni oleh syaitan. Umar bin al-Khattab pernah melewati satu lorong kemudian beliau berjumpa Rasulullah SAW, Baginda pun bersabda: "Sesungguhnya syaitan lari daripada laluan Umar, kerana takut kepadanya." Seorang yang berilmu bijak membentengi dirinya daripada hasutan syaitan dan hawa nafsunya. Ia bagaikan memiliki indera keenam yang mampu mengesan setiap gerakan zahir dan batinnya. Benarkah apa yang dilakukannya atau salahkah jalan yang dilaluinya? Semuanya disebabkan ilmunya yang berkat dan bermanfaat. Ingatlah sabda Rasulullah SAW: "Manusia yang mendapat azab paling keras pada hari kiamat ialah orang yang tidak mendapat manfaat dari ilmunya." (Hadis riwayat Imam al-Tabrani dan al-Baihaqi).


Dipetik dari Beritah Harian 28 Ogos 2006

Ramadan Bulan Keberkatan & Keampunan

Oleh Mohd Shukri Hanapi

RASULULLAH SAW sentiasa menyambut kedatangan Ramadan dengan penuh kegembiraan dan berlapang dada. Perasaan gembira itu disampaikan pula kepada sahabatnya dengan berkhutbah:

"Wahai manusia! Sesungguhnya telah datang kepada kamu bulan Allah (Ramadan) dengan membawa berkat, rahmat dan keampunan. Ia bulan yang paling mulia di sisi Allah. Harinya adalah hari paling mulia. Malamnya adalah malam yang paling mulia. Setiap detik masanya adalah masa yang paling mulia. Inilah bulan ketika kamu diundang menjadi tetamu Allah dan dimuliakan-Nya. Pada bulan ini setiap hembusan nafasmu adalah tasbih, tidurmu adalah ibadah, segala amalanmu diterima, dan doamu dimakbulkan. Bermohonlah kepada Allah Tuhanmu dengan niat yang ikhlas dan hati yang suci agar Allah membimbingmu untuk melakukan puasa dan membaca kitab-Nya (al-Quran).

“Amatlah rugi sesiapa yang tidak mendapat keampunan Allah pada bulan yang agung ini. Ketika berpuasa bayangkanlah saat lapar dan dahaga pada hari kiamat. Bersedekahlah kepada fakir dan miskin. Hormatilah orang tuamu, sayangilah yang muda dan eratkanlah hubungan persaudaraanmu. Jagalah lidahmu, bataskan pandanganmu daripada melihat perkara yang tidak sepatutnya dilihat, dan kawallah telingamu daripada mendengar perkara-perkara yang tidak sepatutnya didengar. Berbuat baiklah kepada anak-anak yatim dan bertaubatlah kepada Allah di atas dosa yang kamu lakukan.

“Angkatlah tanganmu untuk berdoa pada waktu solatmu kerana itulah saat yang paling utama ketika Allah memandang hamba-Nya dengan penuh kasih. Dia (Allah) menjawab apabila hamba-Nya menyeru, menyambut apabila hamba-Nya memanggil dan memberi apabila hamba-Nya meminta.

"Wahai manusia! Sesungguhnya dirimu tergadai kerana perbuatanmu. Bebaskanlah diri dengan memohon keampunan. Dirimu berat kerana beban dosamu, maka ringankanlah dirimu dengan memanjangkan sujudmu. Ketahuilah! Allah bersumpah dengan segala kebesaran-Nya bahawa Dia tidak akan mengazab orang yang solat dan sujud, dan tidak akan mengancam mereka dengan neraka pada hari pengadilan.

"Wahai manusia! Sesiapa di antaramu memberi makanan berbuka puasa kepada seseorang mukmin yang berpuasa pada bulan ini (Ramadan), maka nilai pahalanya di sisi Allah sama dengan membebaskan seorang hamba. Di samping itu Allah akan mengampuni dosanya yang telah lalu.

"Sahabat bertanya: "Ya Rasulullah! Kami semua tidaklah mampu berbuat demikian." Rasulullah SAW meneruskan khutbahnya dengan berkata: "Jagalah dirimu daripada api neraka walaupun hanya dengan sebiji kurma. Jagalah dirimu daripada api neraka walaupun hanya dengan seteguk air."

"Wahai manusia! Sesiapa yang menjaga akhlaknya pada bulan ini (Ramadan) ia dapat melintasi titian Sirat al-Mustaqim pada hari akhirat nanti dengan mudah. Sesiapa yang meringankan pekerjaan orang yang dimiliki tangan kanannya (pegawai atau pembantu) pada bulan ini, Allah akan meringankan pemeriksaan-Nya pada hari kiamat kelak. Sesiapa bersabar pada bulan ini, Allah akan menahan murka-Nya pada hari pengadilan. Sesiapa memuliakan anak yatim pada bulan ini, Allah akan memuliakannya pada hari kiamat.

“Sesiapa menyambungkan tali persaudaraan (silaturahim) pada bulan ini, Allah akan menghubungkan dia dengan rahmat-Nya pada hari kiamat. Sesiapa yang memutuskan hubungan kekeluargaan pada bulan ini, Allah akan memutuskan rahmat-Nya pada hari kiamat. Sesiapa melakukan solat sunat pada bulan ini, Allah akan membebaskannya daripada api neraka. Sesiapa yang melakukan solat fardu pada bulan ini, baginya ganjaran seperti melakukan 70 solat fardu pada bulan yang lain. Sesiapa memperbanyakkan selawat kepadaku (Nabi SAW) pada bulan ini, Allah akan memberatkan timbangannya pada hari ketika timbangan meringan. Sesiapa yang membaca satu ayat al-Quran pada bulan ini, ganjarannya sama seperti mengkhatam al-Quran pada bulan lain.

"Wahai manusia! Sesungguhnya semua pintu syurga dibuka bagimu, maka mohonlah kepada Allah agar ia tidak akan ditutup bagimu. Semua pintu neraka ditutup, maka mohonlah kepada Allah agar ia tidak akan dibuka bagimu. Semua syaitan dibelenggu, maka mohonlah agar ia tidak lagi mengganggumu.

"Saidina Ali bin Abi Talib bangun dan berkata: "Ya Rasulullah! Apakah amalan yang paling utama pada bulan ini?" Jawab Nabi SAW: "Ya Abal Hasan! Amalan yang paling utama pada bulan ini adalah menjaga diri daripada perkara yang diharamkan oleh Allah.”Berdasarkan khutbah yang disampaikan oleh Rasulullah SAW pada hari-hari terakhir Syaaban ini, tidak hairanlah kenapa Baginda amat gembira tatkala tibanya Ramadan.Ramadan adalah bulan yang teristimewa dan mempunyai banyak kelebihannya. Allah menurunkan al-Quran dalam bulan ini. Di dalamnya ada satu malam yang keutamaannya melebihi seribu bulan (Lailatul Qadr). Pada bulan inilah umat Muhammad SAW melaksanakan ibadah puasa selama sebulan. Jika seseorang itu mengerjakan puasa dengan penuh keimanan dan teliti, Allah akan mengampunkan dosanya yang lalu. Segala amal kebajikan yang dilakukan dalam bulan ini akan dilipatgandakan ganjarannya oleh Allah. Pada malamnya pula disunatkan solat Tarawih, Witir, Tasbih dan Tahajud.

BH/210906

Pelbagai Fadilat Puasa

Oleh Dr. Zulkifli Mohamad AlBakri

SEMPENA kunjungan Ramadan al-Mubarak, Allah mentaklifkan kepada umat Islam satu ibadat yang dinamakan puasa.

Dari segi bahasa, puasa bermakna menahan diri daripada melakukan sesuatu seperti makan, minum dan bercakap. Hal ini bertepatan dengan firman Allah yang menceritakan perihal Maryam, Sesungguhnya aku bernazar diam membisu kerana Allah yang bersifat al-Rahman.

Dari segi istilah syaraknya pula, puasa adalah menahan diri daripada sebarang perkara yang membatalkannya bermula dari terbit fajar hingga matahari terbenam dengan niat puasa. (Maryam: 26)

Puasa mempunyai pelbagai kelebihan, keistimewaan dan fadilatnya yang tersendiri. Di sini dinyatakan hadis-hadis berkaitan antaranya hadis riwayat Ahmad, al-Bukhari dan Muslim daripada Sahl bin Sa’d t, sabda Rasulullah: Sesungguhnya dalam syurga terdapat sebuah pintu yang dikenali dengan nama Rayyan, di mana memasuki daripadanya orang-orang yang berpuasa pada hari kiamat dan yang lain tidak berhak. Dikatakan mana orang yang berpuasa? Lantas mereka bangun dan masuk melaluinya. Apabila selesai ditutup. Tiada orang lain berhak memasukinya.

Hadis riwayat Ahmad dan al-Nasa`ie, daripada Abu Hurairah, sabda Rasulullah: Puasa sebagai perisai.

Perisai di sini bermaksud selamat daripada api neraka Allah sebagaimana dalam riwayat yang lain, demikian telah dinyatakan oleh Ibn Abd al-Bar.
Dalam al-Nihayah oleh Ibn Athir menyebut iaitu menyelamatkan tuannya (orang yang berpuasa) daripada menyakitkannya untuk mengikut syahwat.
Qadi `Iyad pula berpendapat ia bermaksud daripada dosa-dosa. Justeru, Ibn Hajar al-Haithami berkata: Ini menunjukkan dan menguatkan apa yang mereka sepakati bahawa ‘dikehendaki dengan puasa’ bermakna yang selamat puasanya daripada sebarang maksiat sama ada melalui perbuatan atau perkataan.

Hadis riwayat Ibn Majah dan al-Hakim, daripada Ibn Umar bahawa Nabi s.a.w. bersabda: Sesungguhnya bagi orang yang berpuasa ketika berbuka mempunyai doa mustajab yang tidak ditolak.

Hadis riwayat al-Baghawi daripada seorang lelaki dalam kalangan sahabat. Firman Allah dalam hadis qudsi, Satu kebajikan dengan 10 kali ganda dan ditambah, dan satu kejahatan hanya dibalas satu dan mungkin Aku hapuskannya, dan puasa untuk-Ku, dan Akulah yang membalasnya. Puasa sebagai perisai daripada azab Allah sebagaimana penyangga yang menjadi perisai daripada mata pedang.

Al-Allamah Ibn Hajar al-Haithami berkata: Wajah sandaran pahala puasa kepada Allah, dan tidak amalan yang lain, kerana seseorang tidak mendekatkan kepada selain Allah dengan puasa pada zatnya. Justeru, puasa pada hakikat adalah untuk Tuhannya kerana puasa merupakan isyarat kepada sir (rahsia) sifat somadiyah Allah. Atau juga terkaya daripada makan dan mengikut segala syahwat daripada sifat-sifat Allah. Justeru, puasa adalah jenis yang muwafaqah yang demikian disandarkan kepada Allah.

Ikhlas

Al-Qurtubi berpendapat: Bahawa segala amalan hamba begitu munasabah dengan keadaan dan hal mereka kecuali puasa. Ia amat munasabah dan berbetulan bagi sifat-sifat Allah s.w.t.. Allah berfirman: Sesungguhnya orang yang berpuasa mendekatkan kepada-Ku dengan perkara daripada sifat-sifat-Ku atau bahawa ikhlas padanya lebih sempurna dan mudah atau kerana ia sama seperti satu sifat daripada sifat-sifat malaikat.

Hadis riwayat al-Baihaqi dalam al-Syu`ab daripada Abu Hurairah, Rasulullah bersabda: Puasa adalah separuh kesabaran, dan di atas setiap sesuatu mempunyai zakat, dan zakat jasad ialah puasa.

Sedangkan mengikut riwayat yang lain seperti al-Tirmizi dan beliau menghasankannya daripada seorang lelaki di kalangan Bani Salim, dan Ibn Majah daripada Abu Hurairah bahawa Nabi bersabda yang bermaksud: Puasa separuh kesabaran.

Dalam riwayat pada sanad yang hasan, Nabi s.a.w. bersabda yang bermaksud: Sabar separuh daripada iman. Yakni puasa satu perempat daripada iman.
Hadis riwayat al-Nasa`ie daripada Abi Sa`id yang bermaksud: Siapa yang berpuasa sehari semata-mata pada jalan Allah nescaya Allah menjauhkan wajahnya dari neraka jahanam selama 70 tahun.

Begitu juga diriwayatkan oleh Ahmad, al-Tirmizi, al-Nasa`ie dan Ibn Majah daripada Abu Hurairah yang sama makna dengan hadis di atas kecuali 70 tahun digantikan dengan 70 musim luruh.

Sedangkan riwayat al-Nasa`ie daripada Uqbah bin Amir, digantikan 70 tahun dengan 100 tahun jarak perjalanan.

Hadis riwayat Ibn Mandah dalam Amali, daripada Ibn Umar dan al-Dailami, daripada Abdullah bin Abu Aufa bahawa sesungguhnya Nabi Muhammad bersabda, Diam orang yang berpuasa merupakan tasbih, tidurnya merupakan ibadat, doanya mustajab dan amalannya digandakan.

Hadis riwayat al-Dailami daripada Anas bahawasanya Rasulullah s.a.w bersabda: Orang yang berpuasa berada dalam ibadat sekalipun dia sedang tidur atas tilamnya.

Hadis seumpama ini juga dikeluarkan oleh Abu Nu`aim daripada Ibn Abbas.
Hadis riwayat al-Nasa`ie daripada Abi Umamah, katanya: Aku datang bertemu Nabi seraya bertanya: Hai Rasulullah, perintahkanlah kepadaku dengan suatu perkara yang aku dapat pegangnya darimu. Sabda Rasulullah: Hendaklah kamu berpuasa kerana sesungguhnya ia tiada tandingannya.
Hadis seumpama ini juga dikeluarkan oleh Ahmad, al-Nasa`ie, Ibn Hibban dan al-Hakim daripada Abi Umamah.

Diambil hadis ini secara zahir ia menunjukkan kelebihan puasa daripada segala ibadat. Walaupun begitu ulama melebihkan solat berdasarkan kepada khabar yang banyak. Antaranya riwayat Abu Daud dan lainnya, iaitu solat sebaik-baik perkara atau ibadat.

Hadis riwayat Ahmad, al-Tirmizi dan al-Baihaqi, daripada Zaid bin Khalid bahawasanya Nabi s.a.w. bersabda: Siapa yang memberi makan orang berbuka puasa adalah pahala baginya seumpamanya dan tidak dikurangkan sedikit pun daripada pahala orang yang berpuasa.

Hadis seumpama ini juga dikeluarkan oleh Ibn Sosra dalam Amalinya daripada Aisyah dan al-Dailami, daripada Ali.

Hadis riwayat al-Tabarani dalam al-Awsat, daripada Anas bahawasanya Rasulullah bersabda: Puasa boleh mengurangkan daging (gemuk) dan menjauhkan daripada kepanasan neraka Sa`ir, sesungguhnya bagi Allah mempunyai hidangan yang tidak pernah dilihat oleh mata, didengar oleh telinga dan terlintas oleh hati manusia, tidak duduk ke atasnya untuk menikmati hidangan tersebut kecuali orang-orang yang berpuasa.

Hadis riwayat al-Nasa`ie, Ibn Majah, daripada Abu Hurairah, Allah berfirman bermaksud: Setiap amalan anak Adam baginya kecuali puasa, maka sesungguhnya ia bagi-Ku dan Aku yang membalasnya dan puasa merupakan perisai, apabila seseorang kamu berpuasa maka janganlah ia bercakap yang cela, bertempik dan sekalipun dimaki oleh seseorang atau diperanginya maka hendaklah berkata: Sesungguhnya aku berpuasa, demi yang jiwa Muhammad di tangannya maka bau mulut orang yang berpuasa terlebih harum di sisi Allah dari bau kasturi. Bagi orang yang berpuasa dia mempunyai dua kegembiraan. Apabila berbuka dia berasa gembira dengan berbukanya dan apabila bertemu Allah dia berasa gembira dengan puasanya.

Hadis riwayat Ahmad, al-Bukhari, al-Nasa`ie dan Ibn Majah daripada Abu Hurairah, Setiap amalan anak Adam digandakan, satu kebajikan dengan sepuluh kali ganda hingga sampai 700 kali ganda, hingga mengikut kehendak Allah.
Semoga kita menjadi hamba-hamba Allah yang dapat menghayati erti dan maksud puasa sehingga membawa kepada takwa kepada Allah.

- Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri ialah penulis tamu Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

Budaya Berhutang


Pendahuluan
Islam mengharuskan seseorang itu berhutang ketika berdepan dengan kesusahan dan kesempitan hidup yang melibatkan masalah kewangan. Dalam masa yang sama, Islam memberi galakkan kepada umatnya agar memberi bantuan dan pertolongan kepada mereka yang memerlukan dalam pelbagai bentuk seperti pinjaman secara hutang bagi meringankan beban yang ditanggung oleh mereka lebih-lebih lagi dalam hal keperluan asasi.
Firman Allah S.W.T :Maksudnya :
"Sesungguhnya orang-orang lelaki yang bersedekah dan orang-orang perempuan yang bersedekah, serta mereka memberikan pinjaman kepada Allah (semata-mata untuk mendapatkan pahala) dengan pinjaman yang baik (ikhlas) akan digandakan balasannya dan mereka pula akan beroleh pahala yang mulia" (Al-Hadid : 18)
Firman Allah S.W.T :Maksudnya :
" Dan bertolong-tolonglah kamu pada jalan kebaikan dan ketaqwaan dan janganlah bertolong-tolong pada perkara dosa dan permusuhan" (Al-Maidah : 2)
Namun demikian, Islam begitu teliti dan amat memandang berat dalam soal memberi, menerima dan membayar semula hutang tersebut kerana ia melibatkan hubungan sesama manusia ketika hidup di dunia ini sehinggalah ke akhirat kelak.
Ada banyak faktor yang menyebabkan seseorang itu terjebak dalam hutang antaranya ialah :
1) Ingin memenuhi kehendak dan tuntutan hawa nafsu untuk memiliki sesuatu yang tidak mampu ditunaikan kecuali dengan berhutang.
2) Pengaruh daripada sahabat handai atau jiran tetangga yang sering memberi galakan untuk berhutang, lantaran itu ia berbuat demikian, walaupun pada hakikat dirinya itu tidak memerlukan, tetapi hanyalah untuk berbangga dengan apa yang dimilikinya.
3) Sikap tidak merasa puas dan cukup dengan apa yang telah dimiliki dan sanggup berhutang demi memenuhi kehendak dan hajatnya tanpa memikirkan akibat yang mendatang.
4) Kemudahan pinjaman yang disediakan oleh beberapa pihak tertentu seperti institusi kewangan dan perbankan bagi menggalakkan lagi amalan berhutang.
5) Berkehendakkan sesuatu benda yang melibatkan metarial dan kebendaan dengan cepat dan pantas walaupun pada hakikatnya ia tidak mampu berbuat demikian.Dalam hal ini jika perkara yang hendak dimiliki itu merupakan keperluan asasi (dharuriat) seperti makanan, minuman, tempat tinggal, pakaian, pelajaran dan seumpamanya, maka Islam membenarkan berhutang sebagaimana dalam sebuah hadis iaitu :-Maksudnya :
"Daripada Abu Hurairah R.A., berkata seseorang ; Ya Rasulullah, pekerjaan apakah yang paling baik ?, Baginda bersabda 'Memasukkan kepada saudara kamu kegembiraan atau melunaskan hutangnya atau memberi roti (makanan) kepadanya. "
Tetapi jika perkara yang ingin dimiliki itu bukan merupakan perkara asasi atau penting dalam kehidupan seseorang itu, maka tidak perlulah ia berhutang, kerana hanya akan menambahkan bebanan lebih-lebih lagi jika melibatkan institusi kewangan dan perbankan yang mengamalkan sistem riba'.
Implikasi Amalan Berhutang
1) Penyakit berhutang ini jika diamalkan akan menjadi satu budaya dalam kehidupan manusiayang boleh mendatangkan kesan negatif kepada pemiutang seperti muflis disebabkan bebanan hutang yang tinggi serta gagal melunaskan hutangnya.
2) Jiwa orang yang berhutang tidak akan tenteram dan aman, hidupnya dalam kancah resah gelisah dihantui oleh bebanan dan tuntutan hutang yang tinggi.
3) Seseorang yang terbeban dengan hutang itu akan memungkinkan ia melakukan pelbagai perkara yang dilarang oleh Syarak seperti mencuri dan menjual maruah diri semata-mata untuk melunaskan hutangnya.
4) Orang yang berhutang akan terikat hidupnya di dunia dan akan tergantung amalan dan rohnya setelah meniggal dunia sehinggalah dilunaskan segala hutang piutangnya semasa hidup.
Sabda Rasulullah S.A.W :-Maksudnya :
"Jiwa orang mukmin akan tergantung dengan hutangnya (iaitu tidak dihukum selamat atau celaka) sehinggalah dia menjelaskan hutangnya ".
Rasulullah S.A.W pernah berwasiat kepada para sahabat Baginda agar mengurangkan hutang seperti sabdanya :-Maksudnya :'
Kurangkanlah dirimu daripada melakukan dosa, maka akan mudahlah bagimu ketika hendak mati. Kurangkanlah daripada berhutang nescaya kamu akan hidup bebas'
5) Amalan berhutang ini bukan sahaja melibatkan kehidupan dunia semata-mata, bahkan ia berpanjangan hingga ke hari akhirat. Sabda Rasulullah S.A.W :-Maksudnya :
" Sesungguhnya sebesar-besar dosa di sisi Allah ketika seseorang hamba itu berjumpa dengan Allah nanti selepas dosa besar lain yang ditegah ialah seseorang lelaki yang berjumpa dengan Allah di hari Hisab dengan mempunyai hutang yang belum dijelaskan lagi "
6) Mereka yang berhutang walau sebanyak manapun amalan kebaikan yang dilakukan, ia tidak akan selamat di dunia dan di akhirat sekalipun dia mati syahid. Sabda Rasulullah S.A.W yang bermaksud :-
"Semua dosa-dosa orang yang mati syahid diampuni kecuali hutangnya. " (Riwayat Bukhari, Tarmizi, An-Nasai' dan Ibn. Majah)
Rasulullah S.A.W sendiri tidak akan menyembahyangkan jenazah orang yang masih mempunyai hutang. Dalam satu hadis yang diriwayatkan oleh Sayyidina Ali Karramallahu Wajhah, bahawa bila didatangkan kepada Rasulullah S.A.W satu jenazah, Rasulullah S.A.W tidak akan bertanya tentang amalan si mati, tetapi bertanya apakah si mati mempunyai hutang atau tidak. Jika si mati mempunyai hutang, baginda menyuruh sahabatnya menyembahyangkan jenazah tersebut atau baginda meminta sesiapa yang sanggup menaggung hutang si mati. Jika tiada, maka hutang tersebut akan diserah atau ditanggung oleh pihak Baitulmal.
Contoh - contoh Dalam Situasi Berhutang
Pelbagai contoh dan situasi behubung dengan hutang yang boleh kita teladani dan insafi antaranya ialah :-
1. Seseorang peniaga membuka sesuatu perniagaan dan memberi kemudahan berhutang kepada pelanggan-pelanggan, setelah tiba tempoh pembayaran hutang tersebut, mereka gagal berbuat demikian, perkara ini sudah tentu akan mendatangkan kerumitan kepada peniaga tersebut untuk meneruskan perniagaan sehingga boleh menyebabkan perniagaan itu ditutup.
2. Seseorang yang diterima untuk melanjutkan pengajian dengan mendapat pinjaman biasiswa. Setelah membuat perjanjian untuk membayar balik pinjaman tersebut dan setelah sampai tempohnya , dia mengabaikan perjanjian itu. Perkara ini akan menimbulkan kesukaran kepada pihak yang memberi pinjaman untuk meneruskan perkhidmatan seperti itu kepada generasi yang akan datang.
3. Bayangkanlah jika seseorang itu berhutang dengan institusi kewangan yang berkaitan dengan orang ramai umpamanya pinjaman kewangan kerajaan atau koperasi sudah pasti ia akan menjadi lebih rumit untuk diselesaikan apabila tiba hari pengadilan di hadapan Allah S.W.T kerana melibatkan ramai pihak. Oleh itu kita perlu berhati-hati dalam hal berhutang supaya tidak tergolong dalam golongan-golongan yang tersebut di atas.
Implikasi Melewat-lewatkan Bayaran Hutang
Apabila seseorang itu berhutang, maka ia wajib membayarnya semula dengan kadar segera setelah berkemampuan berbuat demikian.Islam menganjurkan antara perkara-perkara yang wajib disegerakan di atas dunia ini ialah membayar segala hutang piutang selain daripada menyegerakan pengkebumian jenazah dan mengkahwinkan anak perempuan.Seseorang yang suka melewat-lewatkan bayaran hutang setelah berkemampuan untuk membayarnya, boleh mendatangkan kesan yang buruk dalam kehidupannya bukan sahaja didunia bahkan di akhirat antaranya:-
1) Mereka akan ditimpa kehinaan dan hilang maruahnya
2) Hidup mereka tidak akan mendapat keredhaan dan keberkatan Allah S.W.T
3) Perbuatan mereka itu digolongkan dalam perbuatan zalim
4) Amalan kebajikan mereka tidak akan diterima.Sabda Rasululah S.A.W:Maksudnya :Maksudya:-
" Penangguhan hutang oleh orang yang berkuasa membayarnya adalah satu kezaliman, halal maruahnya dan hukuman ke atasnya (iaitu pemberi hutang boleh mengambil tindakan ke atas diri dan maruahnya).
"Seseorang yang berhutang itu, telah berjanji untuk membayar hutang mengikut sesuatu tempoh, tetapi dia tidak menepatinya, maka dia tergolong dalam golongan orang yang munafik sebagaimana sabda Rasulullah S.A.W yang bermaksud:-" Tanda-tanda orang munafik itu ada empat iaitu;1) Apabila bercakap dia mendustainya2) Apabila berjanji dia memungkirinya3) Apabila diberi amanah dia mengkhianatinya4) Apabila bergaduh dia berlebih-lebihan.
"Dalam konteks masyarakat kita pada hari ini terdapat segelintir masyarakat yang berhutang, tetapi tidak menjelaskan hutang tersebut. Seringkali kita dengar dan lihat melalui laporan media cetak dan elektronik menerangkan tentang situasi mereka yang terpaksa berdepan dengan pelbagai bahaya bukan sahaja kepada dirinya malah turut melibatakan ahli keluarga yang menjadi mangsa seperti diugut, dipukul, disamun, dibunuh dan sebagainya.Dalam masa yang sama, pinjaman hutang yang terlalu tinggi ditambah pula dengan bunga-bunganya menyebabkan si pemiutang tidak mampu untuk membayarnya. Disebabkan tidak tahan melalui semua itu, mereka mengambil jalan pintas dengan membunuh diri dan ada juga dikalangan mereka yang dibunuh dengan kejam.
Syor Dan Saranan
Setiap orang diharuskan berhutang tetapi harus diingat janganlah nilai hutang itu terlalu tinggi sehingga membebankan diri sendiri apabila hendak membayarnya.• Setiap hutang akan melibatkan pemberi dan pemiutang. Bagi menjamin hubungan mesra sesama manusia, adalah menjadi kewajipan dan tanggungjawab si pemiutang untuk membayar semula apabila sampai tempoh perjanjiannya. Allah S.W.T berfirman :-Maksudnya :
" Wahai orang-orang yang beriman, penuhilah serta sempurnakanlah perjanjian" (Al-Ma'idah : 1 )• Pihak yang memberi hutang perlu mewujudkan satu perjanjian atau kontrak semasa berlakunya 'akad. Ini bagi mengelakkan sebarang bentuk penipuan berlaku seperti tidak langsung membayar semula hutang tersebut.
Allah berfirman:-Maksudnya :
" Wahai orang yang beriman apabila kamu menjalankan sesuatu urusan dengan hutang piutang yang diberi tempoh hingga ke suatu masa tertentu makan hendaklan kamu menulis (perjanjian hutang dan bayaran) dan hendaklah ditulis oleh seorang yang adil dan janganlah sesorang penulis enggan menulis sebagaimana Allah mengajarkan. Hendaklah ia menulis dan orang yang berhutang merencana dengan jelas dan hendaklah bertakwa kepada Allah dan janganlah ia mengurangkan sesuatu pun dari hutangnya itu" (Al-Baqarah : 282)•
Orang yang berhutang hendaklah mempunyai sikap bertanggungjawab di atas hutangnya. Jangan sekali-kali menangguhkan pembayaran hutang tersebut apabila mempunyai peluang untuk membayar hutang kerana perbuatan tersebut digolongkan dalam perbuatan zalim dan dia berhak mendapat hukuman di atas perbuatannya itu.
• Orang yang berhutang hendaklah tidak terpengaruh dengan anasir-anasir buruk yang boleh membawa kepada bebanan hutang. Ia perlu mengamalkan sikap sabar dan cukup dengan apa yang dimiliki.
• Seseorang yang ingin berhutang hendaklah berniat serta bercita-cita untuk melunaskan hutangnya, semoga Allah akan memudahkan kepadanya untuk menjelaskan hutang.Sabda Rasulullah S.A.W yang bermaksud:-
" Dan barangsiapa yang berhutang, kemudian ia berniat tidak akan membayar hutangnya, lalu ia mati, maka Allah akan bertanya dihari Kiamat: Apakah kamu mengira bahawa aku tidak akan menuntut hak hambaku?, maka diambillah amal kebaikkan orang itu, dan diberikan kepada orang yang memberi hutang, dan jika tidak mempunyai amal kabaikkan, maka dosa-dosa orang yang memberi hutang itu akan diberikan kepada orang yang berhutang"
• Rasulullah S.A.W. mengajar kita supaya sentiasa berdoa kepada Allah agar dijauh dan dibebaskan dari belenggu hutang dengan doanya yang masyhur:-Maksudnya :" Ya Allah, sesungguhnya aku mohon perlindunganMu dari bebanan hutang dan paksaan dari orang yang memaksa"Marilah kita bersama-sama menunaikan amanah ini dengan yang dipertanggungjawabkan itu dengan penuh rasa kejujuran dan komited agar dengannya kita bebas daripada tanggungan hutang serta mendapatkan keredhaan Allah S.W.T. di akhirat kelak insyaAllah.Kesimpulan
• Islam sangat mengambil berat dalam soal pembayaran hutang, dalam erti kata lain pembayaran hutang merupakan suatu syarat untuk mendapatkan keredhaan Allah S.W.T.
• Seseorang yang berhutang hendaklah berniat dalam hatinya untuk menunaikan hutang tersebut mengikut tempoh masanya kerana Allah S.W.T akan memudahkan baginya untuk membayar hutangnya.• Seseorang yang berhutang janganlah menangguhkan bayaran jika mempunyai peluang untuk membayarnya kerana perbuatan tersebut adalah tergolong dalam perbuatan orang yang zalim.• Kita mesti mempunyai sifat syukur kepada Allah S.W.T. dengan apa yang telah kita miliki dan melaksanakan sifat amanah serta tanggungjawab agar kita dilindungi daripada bahaya dunia dan akhirat.

Dipetik dari Portal Selangor Online: http://202.75.41.185/suk/khutbah.php?id=53