Showing posts with label Puasa. Show all posts
Showing posts with label Puasa. Show all posts

Saturday, August 18, 2007

Ramadan Bulan Keberkatan & Keampunan

Oleh Mohd Shukri Hanapi

RASULULLAH SAW sentiasa menyambut kedatangan Ramadan dengan penuh kegembiraan dan berlapang dada. Perasaan gembira itu disampaikan pula kepada sahabatnya dengan berkhutbah:

"Wahai manusia! Sesungguhnya telah datang kepada kamu bulan Allah (Ramadan) dengan membawa berkat, rahmat dan keampunan. Ia bulan yang paling mulia di sisi Allah. Harinya adalah hari paling mulia. Malamnya adalah malam yang paling mulia. Setiap detik masanya adalah masa yang paling mulia. Inilah bulan ketika kamu diundang menjadi tetamu Allah dan dimuliakan-Nya. Pada bulan ini setiap hembusan nafasmu adalah tasbih, tidurmu adalah ibadah, segala amalanmu diterima, dan doamu dimakbulkan. Bermohonlah kepada Allah Tuhanmu dengan niat yang ikhlas dan hati yang suci agar Allah membimbingmu untuk melakukan puasa dan membaca kitab-Nya (al-Quran).

“Amatlah rugi sesiapa yang tidak mendapat keampunan Allah pada bulan yang agung ini. Ketika berpuasa bayangkanlah saat lapar dan dahaga pada hari kiamat. Bersedekahlah kepada fakir dan miskin. Hormatilah orang tuamu, sayangilah yang muda dan eratkanlah hubungan persaudaraanmu. Jagalah lidahmu, bataskan pandanganmu daripada melihat perkara yang tidak sepatutnya dilihat, dan kawallah telingamu daripada mendengar perkara-perkara yang tidak sepatutnya didengar. Berbuat baiklah kepada anak-anak yatim dan bertaubatlah kepada Allah di atas dosa yang kamu lakukan.

“Angkatlah tanganmu untuk berdoa pada waktu solatmu kerana itulah saat yang paling utama ketika Allah memandang hamba-Nya dengan penuh kasih. Dia (Allah) menjawab apabila hamba-Nya menyeru, menyambut apabila hamba-Nya memanggil dan memberi apabila hamba-Nya meminta.

"Wahai manusia! Sesungguhnya dirimu tergadai kerana perbuatanmu. Bebaskanlah diri dengan memohon keampunan. Dirimu berat kerana beban dosamu, maka ringankanlah dirimu dengan memanjangkan sujudmu. Ketahuilah! Allah bersumpah dengan segala kebesaran-Nya bahawa Dia tidak akan mengazab orang yang solat dan sujud, dan tidak akan mengancam mereka dengan neraka pada hari pengadilan.

"Wahai manusia! Sesiapa di antaramu memberi makanan berbuka puasa kepada seseorang mukmin yang berpuasa pada bulan ini (Ramadan), maka nilai pahalanya di sisi Allah sama dengan membebaskan seorang hamba. Di samping itu Allah akan mengampuni dosanya yang telah lalu.

"Sahabat bertanya: "Ya Rasulullah! Kami semua tidaklah mampu berbuat demikian." Rasulullah SAW meneruskan khutbahnya dengan berkata: "Jagalah dirimu daripada api neraka walaupun hanya dengan sebiji kurma. Jagalah dirimu daripada api neraka walaupun hanya dengan seteguk air."

"Wahai manusia! Sesiapa yang menjaga akhlaknya pada bulan ini (Ramadan) ia dapat melintasi titian Sirat al-Mustaqim pada hari akhirat nanti dengan mudah. Sesiapa yang meringankan pekerjaan orang yang dimiliki tangan kanannya (pegawai atau pembantu) pada bulan ini, Allah akan meringankan pemeriksaan-Nya pada hari kiamat kelak. Sesiapa bersabar pada bulan ini, Allah akan menahan murka-Nya pada hari pengadilan. Sesiapa memuliakan anak yatim pada bulan ini, Allah akan memuliakannya pada hari kiamat.

“Sesiapa menyambungkan tali persaudaraan (silaturahim) pada bulan ini, Allah akan menghubungkan dia dengan rahmat-Nya pada hari kiamat. Sesiapa yang memutuskan hubungan kekeluargaan pada bulan ini, Allah akan memutuskan rahmat-Nya pada hari kiamat. Sesiapa melakukan solat sunat pada bulan ini, Allah akan membebaskannya daripada api neraka. Sesiapa yang melakukan solat fardu pada bulan ini, baginya ganjaran seperti melakukan 70 solat fardu pada bulan yang lain. Sesiapa memperbanyakkan selawat kepadaku (Nabi SAW) pada bulan ini, Allah akan memberatkan timbangannya pada hari ketika timbangan meringan. Sesiapa yang membaca satu ayat al-Quran pada bulan ini, ganjarannya sama seperti mengkhatam al-Quran pada bulan lain.

"Wahai manusia! Sesungguhnya semua pintu syurga dibuka bagimu, maka mohonlah kepada Allah agar ia tidak akan ditutup bagimu. Semua pintu neraka ditutup, maka mohonlah kepada Allah agar ia tidak akan dibuka bagimu. Semua syaitan dibelenggu, maka mohonlah agar ia tidak lagi mengganggumu.

"Saidina Ali bin Abi Talib bangun dan berkata: "Ya Rasulullah! Apakah amalan yang paling utama pada bulan ini?" Jawab Nabi SAW: "Ya Abal Hasan! Amalan yang paling utama pada bulan ini adalah menjaga diri daripada perkara yang diharamkan oleh Allah.”Berdasarkan khutbah yang disampaikan oleh Rasulullah SAW pada hari-hari terakhir Syaaban ini, tidak hairanlah kenapa Baginda amat gembira tatkala tibanya Ramadan.Ramadan adalah bulan yang teristimewa dan mempunyai banyak kelebihannya. Allah menurunkan al-Quran dalam bulan ini. Di dalamnya ada satu malam yang keutamaannya melebihi seribu bulan (Lailatul Qadr). Pada bulan inilah umat Muhammad SAW melaksanakan ibadah puasa selama sebulan. Jika seseorang itu mengerjakan puasa dengan penuh keimanan dan teliti, Allah akan mengampunkan dosanya yang lalu. Segala amal kebajikan yang dilakukan dalam bulan ini akan dilipatgandakan ganjarannya oleh Allah. Pada malamnya pula disunatkan solat Tarawih, Witir, Tasbih dan Tahajud.

BH/210906

Pelbagai Fadilat Puasa

Oleh Dr. Zulkifli Mohamad AlBakri

SEMPENA kunjungan Ramadan al-Mubarak, Allah mentaklifkan kepada umat Islam satu ibadat yang dinamakan puasa.

Dari segi bahasa, puasa bermakna menahan diri daripada melakukan sesuatu seperti makan, minum dan bercakap. Hal ini bertepatan dengan firman Allah yang menceritakan perihal Maryam, Sesungguhnya aku bernazar diam membisu kerana Allah yang bersifat al-Rahman.

Dari segi istilah syaraknya pula, puasa adalah menahan diri daripada sebarang perkara yang membatalkannya bermula dari terbit fajar hingga matahari terbenam dengan niat puasa. (Maryam: 26)

Puasa mempunyai pelbagai kelebihan, keistimewaan dan fadilatnya yang tersendiri. Di sini dinyatakan hadis-hadis berkaitan antaranya hadis riwayat Ahmad, al-Bukhari dan Muslim daripada Sahl bin Sa’d t, sabda Rasulullah: Sesungguhnya dalam syurga terdapat sebuah pintu yang dikenali dengan nama Rayyan, di mana memasuki daripadanya orang-orang yang berpuasa pada hari kiamat dan yang lain tidak berhak. Dikatakan mana orang yang berpuasa? Lantas mereka bangun dan masuk melaluinya. Apabila selesai ditutup. Tiada orang lain berhak memasukinya.

Hadis riwayat Ahmad dan al-Nasa`ie, daripada Abu Hurairah, sabda Rasulullah: Puasa sebagai perisai.

Perisai di sini bermaksud selamat daripada api neraka Allah sebagaimana dalam riwayat yang lain, demikian telah dinyatakan oleh Ibn Abd al-Bar.
Dalam al-Nihayah oleh Ibn Athir menyebut iaitu menyelamatkan tuannya (orang yang berpuasa) daripada menyakitkannya untuk mengikut syahwat.
Qadi `Iyad pula berpendapat ia bermaksud daripada dosa-dosa. Justeru, Ibn Hajar al-Haithami berkata: Ini menunjukkan dan menguatkan apa yang mereka sepakati bahawa ‘dikehendaki dengan puasa’ bermakna yang selamat puasanya daripada sebarang maksiat sama ada melalui perbuatan atau perkataan.

Hadis riwayat Ibn Majah dan al-Hakim, daripada Ibn Umar bahawa Nabi s.a.w. bersabda: Sesungguhnya bagi orang yang berpuasa ketika berbuka mempunyai doa mustajab yang tidak ditolak.

Hadis riwayat al-Baghawi daripada seorang lelaki dalam kalangan sahabat. Firman Allah dalam hadis qudsi, Satu kebajikan dengan 10 kali ganda dan ditambah, dan satu kejahatan hanya dibalas satu dan mungkin Aku hapuskannya, dan puasa untuk-Ku, dan Akulah yang membalasnya. Puasa sebagai perisai daripada azab Allah sebagaimana penyangga yang menjadi perisai daripada mata pedang.

Al-Allamah Ibn Hajar al-Haithami berkata: Wajah sandaran pahala puasa kepada Allah, dan tidak amalan yang lain, kerana seseorang tidak mendekatkan kepada selain Allah dengan puasa pada zatnya. Justeru, puasa pada hakikat adalah untuk Tuhannya kerana puasa merupakan isyarat kepada sir (rahsia) sifat somadiyah Allah. Atau juga terkaya daripada makan dan mengikut segala syahwat daripada sifat-sifat Allah. Justeru, puasa adalah jenis yang muwafaqah yang demikian disandarkan kepada Allah.

Ikhlas

Al-Qurtubi berpendapat: Bahawa segala amalan hamba begitu munasabah dengan keadaan dan hal mereka kecuali puasa. Ia amat munasabah dan berbetulan bagi sifat-sifat Allah s.w.t.. Allah berfirman: Sesungguhnya orang yang berpuasa mendekatkan kepada-Ku dengan perkara daripada sifat-sifat-Ku atau bahawa ikhlas padanya lebih sempurna dan mudah atau kerana ia sama seperti satu sifat daripada sifat-sifat malaikat.

Hadis riwayat al-Baihaqi dalam al-Syu`ab daripada Abu Hurairah, Rasulullah bersabda: Puasa adalah separuh kesabaran, dan di atas setiap sesuatu mempunyai zakat, dan zakat jasad ialah puasa.

Sedangkan mengikut riwayat yang lain seperti al-Tirmizi dan beliau menghasankannya daripada seorang lelaki di kalangan Bani Salim, dan Ibn Majah daripada Abu Hurairah bahawa Nabi bersabda yang bermaksud: Puasa separuh kesabaran.

Dalam riwayat pada sanad yang hasan, Nabi s.a.w. bersabda yang bermaksud: Sabar separuh daripada iman. Yakni puasa satu perempat daripada iman.
Hadis riwayat al-Nasa`ie daripada Abi Sa`id yang bermaksud: Siapa yang berpuasa sehari semata-mata pada jalan Allah nescaya Allah menjauhkan wajahnya dari neraka jahanam selama 70 tahun.

Begitu juga diriwayatkan oleh Ahmad, al-Tirmizi, al-Nasa`ie dan Ibn Majah daripada Abu Hurairah yang sama makna dengan hadis di atas kecuali 70 tahun digantikan dengan 70 musim luruh.

Sedangkan riwayat al-Nasa`ie daripada Uqbah bin Amir, digantikan 70 tahun dengan 100 tahun jarak perjalanan.

Hadis riwayat Ibn Mandah dalam Amali, daripada Ibn Umar dan al-Dailami, daripada Abdullah bin Abu Aufa bahawa sesungguhnya Nabi Muhammad bersabda, Diam orang yang berpuasa merupakan tasbih, tidurnya merupakan ibadat, doanya mustajab dan amalannya digandakan.

Hadis riwayat al-Dailami daripada Anas bahawasanya Rasulullah s.a.w bersabda: Orang yang berpuasa berada dalam ibadat sekalipun dia sedang tidur atas tilamnya.

Hadis seumpama ini juga dikeluarkan oleh Abu Nu`aim daripada Ibn Abbas.
Hadis riwayat al-Nasa`ie daripada Abi Umamah, katanya: Aku datang bertemu Nabi seraya bertanya: Hai Rasulullah, perintahkanlah kepadaku dengan suatu perkara yang aku dapat pegangnya darimu. Sabda Rasulullah: Hendaklah kamu berpuasa kerana sesungguhnya ia tiada tandingannya.
Hadis seumpama ini juga dikeluarkan oleh Ahmad, al-Nasa`ie, Ibn Hibban dan al-Hakim daripada Abi Umamah.

Diambil hadis ini secara zahir ia menunjukkan kelebihan puasa daripada segala ibadat. Walaupun begitu ulama melebihkan solat berdasarkan kepada khabar yang banyak. Antaranya riwayat Abu Daud dan lainnya, iaitu solat sebaik-baik perkara atau ibadat.

Hadis riwayat Ahmad, al-Tirmizi dan al-Baihaqi, daripada Zaid bin Khalid bahawasanya Nabi s.a.w. bersabda: Siapa yang memberi makan orang berbuka puasa adalah pahala baginya seumpamanya dan tidak dikurangkan sedikit pun daripada pahala orang yang berpuasa.

Hadis seumpama ini juga dikeluarkan oleh Ibn Sosra dalam Amalinya daripada Aisyah dan al-Dailami, daripada Ali.

Hadis riwayat al-Tabarani dalam al-Awsat, daripada Anas bahawasanya Rasulullah bersabda: Puasa boleh mengurangkan daging (gemuk) dan menjauhkan daripada kepanasan neraka Sa`ir, sesungguhnya bagi Allah mempunyai hidangan yang tidak pernah dilihat oleh mata, didengar oleh telinga dan terlintas oleh hati manusia, tidak duduk ke atasnya untuk menikmati hidangan tersebut kecuali orang-orang yang berpuasa.

Hadis riwayat al-Nasa`ie, Ibn Majah, daripada Abu Hurairah, Allah berfirman bermaksud: Setiap amalan anak Adam baginya kecuali puasa, maka sesungguhnya ia bagi-Ku dan Aku yang membalasnya dan puasa merupakan perisai, apabila seseorang kamu berpuasa maka janganlah ia bercakap yang cela, bertempik dan sekalipun dimaki oleh seseorang atau diperanginya maka hendaklah berkata: Sesungguhnya aku berpuasa, demi yang jiwa Muhammad di tangannya maka bau mulut orang yang berpuasa terlebih harum di sisi Allah dari bau kasturi. Bagi orang yang berpuasa dia mempunyai dua kegembiraan. Apabila berbuka dia berasa gembira dengan berbukanya dan apabila bertemu Allah dia berasa gembira dengan puasanya.

Hadis riwayat Ahmad, al-Bukhari, al-Nasa`ie dan Ibn Majah daripada Abu Hurairah, Setiap amalan anak Adam digandakan, satu kebajikan dengan sepuluh kali ganda hingga sampai 700 kali ganda, hingga mengikut kehendak Allah.
Semoga kita menjadi hamba-hamba Allah yang dapat menghayati erti dan maksud puasa sehingga membawa kepada takwa kepada Allah.

- Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri ialah penulis tamu Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).